mcmc
Keusahawanan

USAHAWANITA KUALA MEDANG

KUALA Medang di Kuala Lipis, Pahang bukan satu nama asing bagi pelancong luar yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi dan ketenangan hidup di kampung yang masih mengekalkan tradisi serta kebudayaan masyarakat Melayu. Sejak mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan untuk dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan homestay pada 2002, Kuala Medang telah berjaya menarik ramai pelancong dari Eropah dan juga Asia untuk berkunjung ke kampung itu.

Penghulu Mukim Ulu Jelai, Mohd. Razaki Abdul Razak berkata, mengekalkan gaya hidup tradisional masyarakat Melayu dan juga keindahan alam semula jadi yang masih tidak terusik oleh pembangunan, telah berjaya mencuri hati para pelancong asing untuk bercuti di situ.

Selain projek homestay yang dijalankan, Kampung Kuala Medang juga menghasilkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi meningkatkan pendapatan sampingan. Produk IKS ini telah diusahakan oleh Puan Zainab dan telah mendapat tempat di hati para pelancong dalam dan luar negara. Antara produk yang dihasilkan adalah seperti Sambal Hitam, Mee Sanggul, Jus Salak, Serbuk Kunyit, Tapai serta Kuih-muih Tradisional yang lain. Puan Zainab juga telah mendapat Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan Kategori Minuman Buah Tempatan 2011 melalui penghasilan Jus Salak beliau.

Sokongan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian negeri, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) seolah-olah memberi kekuatan baru kepadanya. Bantuan peralatan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKW) dibawah projek Desa Lestari memberi lebih peluang kepadanya melangkah lebih jauh dalam industri pembuatan makanan dengan sijil halal.